Wednesday, May 9, 2012

Ibu Bekerja & Mengepam Susu

Assalamualaikum

Apakah kelebihannya mengepam susu di tempat kerja?

Mengepam susu badan di tempat kerja boleh menjadi suatu gangguan, dan melakukan perkara yang peribadi ini di persekitaran kerja adalah pelik. Tetapi kebanyakan ibu mengetahui faedahnya adalah lebih berbanding kesukarannya. Anda akan dapat membekalkan faedah kesihatan dan khasiat yang hanya diperolehi dari susu badan kepada bayi anda, dan mengepam susu badan merupakan satu cara yang baik untuk anda berasa rapat dengan bayi anda pada waktu-waktu anda di tempat kerja.

Satu perkara terbaik mengenai mengepam susu badan di tempat kerja ialah anda pulang ke rumah kepada bayi yang masih mahu menyusu - anda boleh mendakapnya dengan segera, memperkuatkan ikatan anda, dan memeliharanya dengan cara yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain. Untuk memastikan bayi anda masih mahu menyusu apabila anda pulang ke rumah, minta penjaga anda supaya jangan memberikan susu kepadanya sejam sebelum anda pulang atau berikannya hanya sedikit susu untuk menghilangkan rasa laparnya. Dengan ini, anda dan bayi anda akan tertunggu-tunggu untuk bersama setiap hari.

Bagaimana saya boleh mengepam susu badan dengan baik di tempat kerja?

Anda akan memerlukan:

• satu pam – pam elektrik berbentuk dua adalah yang paling efisien tetapi harganya mahal (ramai wanita juga selesa menggunakan pam tangan);
• botol susu;
• akses kepada peti sejuk atau kotak sejuk;
• lapit buah dada.

Elok sekiranya anda mula mengepam susu badan di rumah sebelum kembali bekerja selepas bersalin. Ini ialah supaya anda tahu apa yang sebenarnya akan berlaku dan dapat membiasakan diri dengan sensasi aneh apabila dua sarung pam ditekan pada buah dada anda. Anda harus mengepam sama kerap seperti kekerapan bayi menyusu sebab anda boleh menyimpan susu itu dalam peti sejuk sebagai bekalan. Sekiranya anda mengepam secara kerap tanpa mengikut jadual menyusu, anda akan mendapat sedikit susu sahaja berbanding dengan mengepam pada waktu menyusu penuh; walau bagaimanapun, jika anda mengepam semasa waktu bukan menyusu dan di samping itu menyusukan bayi pada masa yang sama, anda akan menghasilkan susu berlebihan dan akan berasa tidak selesa. Bila anda baru mula mengepam, anda mungkin dapat mengumpulkan sedikit susu sahaja, tetapi tidak lama nanti, anda akan mendapat beberapa auns setiap kali mengepam selama 15 hingga 20 minit.

Secara idealnya, anda perlu mempunyai akses ke sebuah bilik persendirian di tempat kerja, seperti bilik pejabat yang tidak digunakan atau bilik persidangan atau bilik stor yang besar dan bersih yang lengkap dengan kerusi, meja dan poin kuasa. Minta staf sumber manusia untuk mencadangkan tempat sesuai dan cuba dapatkan sokongan rakan sekerja atau pengurus anda. Jika terdapat permintaan lain (mungkin seorang lagi ibu yang menyusukan), anda boleh meminta disediakan bilik ibu-ibu susu di pejabat. Senario paling teruk ialah apabila anda perlu mengepam di kubikel bilik air. Pakar BabyCenter Jennifer Hor mencadangkan supaya anda hanya melakukannya untuk mengurangkan kebengkakan. Melihat keadaan (lazimnya) kurang ideal bilik-bilik air di Malaysia, susu yang dipam perlu dibuang sahaja.

Adakah saya perlu memberitahu rakan sekerja saya bahawa saya sedang mengepam susu?

Anda tidak perlu memberitahu rakan sekerja anda apa yang anda lakukan semasa waktu rehat anda jika anda berasa tidak selesa, tetapi anda perlu memberitahu ketua anda. Dia perlu tahu bahawa mengepam susu tidak akan menganggu kerja anda, jadi yakinkannya bahawa menyusukan bayi anda dengan cara ini akan menenangkan anda sebab anda tahu bayi anda akan mendapat yang terbaik. Ini akan membuatkan anda menumpukan perhatian sepenuhnya pada kerja.

Bagaimanakah saya boleh memaksimakan pengeluaran susu badan saya?

Relaks dan lihat gambar bayi anda atau gambarkan rupanya semasa anda mengepam. Setelah pam buah dada berfungsi dengan baik, ramai ibu mendapati yang mereka boleh menggunakan masa mengepam tersebut dengan pembacaan berkaitan kerja.

Bilakah saya perlu mengepam?

Ia bergantung kepada anda tetapi cuba melakukannya pada masa yang sama setiap hari. Jika anda boleh mengepam setiap tiga jam, anda akan boleh menghasilkan jumlah susu yang diperlukan oleh bayi anda. Mengepam sekali atau dua kali sehari adalah lebih realistik, dan ianya mencukupi untuk memenuhkan bekalan susu anda untuk penyusuan pada waktu pagi, petang dan hari minggu.

Bagaimanakah saya memindah, menyimpan dan menghangatkan susu badan?

• Ia adalah penting untuk menyediakan bekalan di dalam peti beku sebelum anda kembali bekerja sebab anda akan memerlukan susu yang secukupnya pada hari pertama anda bekerja.
• Pam dan simpan susu sama ada dalam botol kaca atau plastik atau beg plastik yang dibuat khas untuk tujuan ini. Kajian menunjukkan bahawa sel darah putih mungkin akan melekat pada kaca dan tidak pada plastik, dan ini menjadikan plastik sebagai pilihan yang lebih baik (botol kaca tidak boleh dibekukan sebab ia akan retak). Kelemahan beg plastik ialah ia mudah terkoyak dan ini hanya akan disedari setelah susu mencair. Ia juga mudah terbalik semasa sedang dicairkan! Labelkan dan letakkan tarikh pada botol dan beg, dan gunakan mengikut tarikh terawal dahulu. Pastikan ada ruang pada botol atau beg untuk pengembangan susu semasa pembekuan.
• Simpan susu yang baru dipam (dilabelkan dengan nama anda) dalam peti sejuk pejabat atau bekas pendingin semasa di tempat kerja. Bawa ia pulang dalam bekas pendingin yang berisi pek ais jika perjalanan anda melebihi 30 minit – susu yang baru dipam adalah OK pada suhu bilik iaitu 25 darjah Centigrade atau lebih rendah untuk sehingga empat jam. Jika anda memandu, halakan alat penghawa dingin pada susu sepanjang perjalanan ke rumah anda.
• Jika anda menyejukkan atau mendinginkan susu yang dipam, anda boleh menambahkannya ke dalam botol yang sudah mengandungi susu beku.
• Jika anda menyejukkan susu yang anda pam pada hari Isnin, penjaga anda boleh memberikannya kepada bayi anda pada hari Selasa dan seterusnya.
• Cairkan susu yang beku dengan memegang botol atau beg di bawah aliran air suam atau letakkan di dalam mangkuk yang berisi air suam. Jangan guna ketuhar gelombang mikro atau dapur: suhu tinggi akan memusnahkan sesetengah nutrien. Susu akan berpisah dari patinya, jadi anda perlu menggoncangkannya sedikit semasa menghangatkan atau sebelum memberikannya kepada bayi anda.

Sumber:babycenter.com

No comments:

Post a Comment