Wednesday, July 11, 2012

Doa-Doa Yg Mustajab

Assalamualaikum

Doa-Doa Yang Mustajab

Beberapa doa yang sangat mustajab untuk dibacakan ketika memohon pertolongan Allah S.W.T. Salah satu daripadanya:

1. "Allahumma inni as aluka anniy asyhaduka annaka antaAllah, laa ilaa ha illa anta, al-waahidus somadul lazi lam yalid walam yuulad, walam yakun lahu kufuan ahad", yang bererti:

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dengan bahawasanya aku menyaksikan bahawa Engkaulah Allah, tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Engkau, Engkau Maha Esa, tempat meminta, Engkau tidak beranak dan Engkau tidak dilahirkan, dan tiada bagi-Mu tandingan dari sesuatu apapun."

Doa ini merupakan doa seorang sahabat yang didengari Rasulullah S.A.W, lalu baginda S.A.W bersabda, "Engkau telah berdoa kepada Allah S.W.T dengan tauhid-Nya, yang mana jika engkau berdoa dengannya nescaya pasti akan Dia kabulkan." Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad.

2. Doa Nabi Musa A.S sebagaimana yang direkodkan di dalam al-Quran, "Rabbi syrah li sodri, wa yassirli amri, wahlul 'uq datan min lisaniy, yafqahu qauliy", bermakna:

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, dan bukalah simpulan dari lidahku, agar mereka memahami perkataanku."
3. Membaca nama-nama Allah S.W.T, yang berkaitan dengan doa kita.

Sebagai contoh, ar-Raazik (Maha Pemberi Rezeki) jika memohon rezeki, al-Ghafuur (Maha Pengampun) jika memohon taubat, ar-Rahiim (Yang Maha Pengasih) jika memohon belas kasihan, al-Jabbar (Yang Maha Kuat) jika memohon pembelaan dan juga lain-lain.

Bahkan afdhal juga jika dibacakan kesemua 99 nama Allah, dan berdoa setelah membacanya. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Nama-nama Allah seratus kurang satu, sesiapa yang menghitungnya (menghayati dan mengamalkan) akan masuk Syurga". Maka dengan itu nama-nama Allah sangat mustajab jika didahulukan sebelum berdoa.

4. Doa tahiyat akhir, iaitu "Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal", maksudnya:

"Ya Allah ya tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal"

Sungguh jika kita lihat secara teliti, dan kita pelajari dengan minda dan hati yang terbuka, kita akan dapati terlalu banyak doa dan amalan yang membawa kepada mustajabnya doa kita. Andai kita cuba beramal dengan semuanya, nescaya kita tidak akan mampu untuk beristiqamah dengannya. Kerana itu kita katakan bahawa ibadah baginda S.A.W adalah ibadah yang paling sempurna.


Sumber: iluvislam


No comments:

Post a Comment

 
Images by Freepik